Kembara Qurban 2010 : Siem Reap-Phnom Penh Part II

Hari Kedua (16.11.2010)

Usai bersiap-siap dan bersarapan nasi lemak & roti canai, kami bertolak ke destinasi yang paling dinanti-nantikan di Siem Reap ini, pastinya tapak bersejarah Angkor Wat. Tak sabar nak melihat dengan mata sendiri tinggalan artifak yang pernah dicalonkan sebagai antara keajaiban dunia itu. Sedikit latar belakang mengenai Angkor Wat. Ia merupakan kompleks keagamaan yang dibina oleh Raja Suryavarman II pada awal kurun ke 12. Bermakna usia Angkor Wat sudah mencecah kira-kira 800 tahun. Ia dibina berasaskan seni bina Khmer yang cukup kompleks dan proses pembinaannya dikatakan mengambil masa berpuluh-puluh tahun. Angkor Wat adalah bahasa Khmer yang bermaksud "Kota Kuil". Terletak di kawasan yang dipanggil Angkor yang tidak jauh dari bandar Siem Reap. Wah, dah macam cikgu sejarah pulak.

Kaunter tiket Angkor Wat
Setibanya di kaunter tiket, kami diarahkan untuk turun daripada bas untuk diambil gambar. Setiap pelawat yang ingin memasuki kawasan Angkor Wat dikehendaki memiliki pas masuk yang tertera gambar sendiri., agak unik. Bayaran yang dikenakan untuk seorang pelawat adalah sebanyak $20 USD. Selepas selesai urusan tiket, kami terus menuju ke Angkor Wat. Tiba di sana, pandangan sudah terasa aura keunikannya. Dari jauh saujana tersergam kompleks Angkor Wat yang di kelilingi tasik yang tenang. Kami berjalan kaki untuk ke pintu gerbang dan bangunan utama. Laluan untuk ke pintu gerbang merentasi tasik yang dihiasi dengan bunga-bunga teratai. Lensa kamera tidak putus-putus menembak sudut-sudut menarik seni bina artistik dan lamannya yang sungguh cantik. Memang mengagumkan. Laluan ke bangunan utama pula dipagari dengan pagar batu yang terukir cantik dan di kelilingi taman yang menghijau. Fikiran membayangkan bagaimana keadaan kawasan tersebut ketika 800 tahun dahulu. Tentu sangat cantik. Mengikut sejarah, binaan keseluruhannya menggunakan batu pasir yang diangkut daripada Gunung Kulen yang terletak 40 kilometer dari situ. Yang menjadi tanda tanya, bagaimana batu pasir yang begitu banyak dapat diangkut dalam zaman yang tidak ada kenderaan dan jentera-jentera pembinaan.

Tiba di Angkor Wat

Pintu gerbang Angkor Wat

Posing jap

Pagar sepanjang laluan ke bangunan utama
Pelancong-pelancong Jepun

Penerokaan Angkor Wat diteruskan sampai ke bangunan utama. Matahari semakin terik memancar cahayanya. Tapi sikit pun tak mematahkan langkah menghayati keajaiban ciptaan manusia yang dikurniakan kebijaksanaan oleh Yang Maha Pencipta. Menakjubkan. Itulah perasaan bila memasuki bangunan utama Angkor Wat. Setiap sudut di dalam bangunan mempunyai keunikan tersendiri dan dihiasi pelbagai ukiran yang cukup kompleks. Dinding, tiang, siling dan lantainya memperlihatkan betapa teliti dan hebatnya mereka yang membina bangunan tersebut. Sangat asyik melihat hingga terpisah dengan kawan-kawan. Saya lebih senang berjalan sendirian sebab lebih mudah dan bebas untuk meneroka setiap sudut bangunan dan menangkap gambar-gambar yang menarik. Kalau nak tahu, mengikut jurutera moden, anggaran masa yang diperlukan untuk membina kompleks hebat ini adalah 300 tahun, tapi mengikut sejarah ia hanya mengambil masa kurang daripada 40 tahun. Hebat kan! UNESCO telah mengiktiraf Angkor Wat sebagai Tapak Warisan Dunia yang agung atas kehebatan seni bina dan nilai sejarahnya. Oh ya, mengikut rekod Angkor Wat adalah kawasan keagamaan yang terbesar di dunia yang pernah dibina. Memang sangat luas dan kami pun tak mampu untuk meneroka keseluruhan kawasannya. Selain Angkor Wat, banyak lagi kuil-kuil di kawasan berhampiran yang turut menjadi tumpuan pelancong seperti Bayon dan Angkor Thom. Ramai pelancong terutamanya dari Korea dan Jepun menghabiskan masa beberapa hari untuk melawat kesemua tapak-tapak sejarah tersebut.

Posing di satu sudut dalam Angkor Wat

Salah satu ukiran dinding yang cantik

Rehat kejap

Tangga naik ke bahagian atas. Tak dapat naik sebab ramai sangat pelancong berbaris

Salah satu tangga lama

Menjelang tengahari kami berkumpul di hadapan Angkor Wat sambil berehat menghadap tasik. Semua sudah kelihatan penat tapi puas. Tak sangka berpeluang melihat sendiri tempat-tempat ajaib sebegini. InsyaAllah ada rezeki nak ke keajaiban-keajaiban dunia yang lain pula. Selepas semua berkumpul, kami kembali ke hotel penginapan untuk berehat, solat dan makan tengahari.

Kerja-kerja baik pulih yang sedang dijalankan

Ukiran tentang kisah hidup mereka

Signboard tapak warisan dunia UNESCO

Hadapan Angkor Wat

Petang itu kami ke Old Market di Siem Reap untuk membeli-belah. Tapi saya hanya sekadar bersiar-siar sahaja sebab nak shopping di Phnom Penh nanti. Petang itu juga Devotees, Muadz dan Hafiedz ke Madrasah Qamaruddin Al-Islamiah Kg Stengmai lokasi untuk persembahan pada malam nanti untuk soundcheck. Persembahan bermula selepas isyak. Kami membuat persembahan yang santai sahaja untuk malam raya itu. Dimulakan dengan takbir raya oleh Ustaz Erwan dan diikuti dengan persembahan Mu'adz dan Hafiedz, seterusnya Devotees. Alhamdulillah sambutan penduduk amat baik. Abon juga sempat mengisi satu sot dengan lawaknya. Beberapa orang peserta Kembara Qurban turut menghulurkan sumbangan kepada wakil penduduk, Ustaz Musa. Usai persembahan, kami dihidangkan dengan hidangan istimewa Siem Reap, lembu naik bukit atau dalam bahasa Khmer, 'kew lang phnom'. Bahan-bahannya cukup ringkas, daging lembu yang diperap dengan sos tiram dan sayur-sayuran. Kami memasaknya sendiri di atas kuali yang 'berbukit' dan berlubang-lubang. Unik. Memang tak jumpa kalau di Malaysia. Cara memasaknya pun sangat simple, cuma panaskan minyak dan mentega, dan teruskan masukkan daging yang diperap tadi. Rasanya, mmmm enak sekali. Dagingnya fresh dan manis dicicah dengan sos black pepper. Sedap. Semua makan sambil masak dengan khusyuk sampai kekenyangan. Alhamdulillah....


Kanak-kanak bersedia menanti persembahan

Sebahagian penduduk tempatan yang hadir

Ustaz Erwan dan Rozali pengacara bersama

Persembahan Mu'adz dan Hafiedz

Persembahan santai Devotees

Lembu naik bukit 'kew lang phnom'

Mencuba bakat memasak

Ni rupanya yang dah masak

Selesai menjamu selera, kami kembali ke hotel untuk berehat dan bersiap-siap untuk check out awal pagi esok. Selamat malam. Bersambung lagi. =)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teks Doa Majlis Perhimpunan Bulanan

Cukuplah Allah bagiku

MANIS yang manis!