Teks Bercerita Kanak-kanak: Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


(Lagu)

Wahai kawan-kawan mari dengar cerita.

Kisah dua nabi taat perintah Tuhan.

Wahai kawan-kawan tumpukan perhatian.

Semoga kita dapat pengajaran.


Dengarkan cerita, saya persembahkan, kisah dari al-quran, jadikan ikutan. 

Kisah ini tentang pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail A’laihimassalam.


Kawan-kawan,

Setiap tahun kita menyambut Hari raya Aidil adha, yang juga dikenali sebagai Hari Raya Korban. Tapi, apakah asal-usul sejarah sambutan hari yang mulia ini? Hmm..

Kawan-kawan tahu tak, ia tentang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail alaihimassalam dalam membuktikan ketaatan kepada Allah.

Dari situlah, datangnya ibadah korban binatang ternakan pada hari raya aidil adha yang kita sambut pada bulan Zulhijjah setiap tahun.

Ketika umur Nabi Ismail meningkat remaja, bapanya Nabi Ibrahim telah bermimpi bahawa Allah telah memerintahkannya untuk menyembelih anak yang sangat disayanginya. Kisah ini dirakam oleh Allah dalam al-Quran dalam Surah as-Soffat, ayat 102 yang bermaksud:

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya, aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?".

Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar". 

Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat dan menjunjung perintah Allah itu, maka mereka pun melaksanakannya. Nabi Ibrahim membaringkan anaknya Nabi Ismail di atas tanah, lalu menyembelih anaknya dengan sebilah pisau yang tajam.

Namun dengan kuasa Allah, Nabi Ibrahim tidak menyembelih Nabi Ismail kerana Allah telah menggantikannya dengan seekor kibas yang gemuk untuk disembelih.

Jelaslah bahawa ia adalah ujian dari Allah, untuk melihat sama ada Nabi Ibrahim benar-benar beriman dan taat akan perintah-Nya ataupun tidak. Ketaatan dan ketaqwaan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail alaihimassalam, dalam melaksanakan perintah tersebut, telah menjadikan mereka berdua berjaya dalam ujian Allah yang amat besar itu. Hebatkan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail kawan-kawan?

Kisah ini menunjukkan, betapa Allah meletakkan sifat berkorban, sebagai sifat mulia yang dipandang tinggi olehNya, dan menjadi bukti ketaatan kepada Allah. Sebagai umat Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam, perintah berkorban telah disyariatkan, oleh Allah kepada baginda, dalam surah Al-Kauthar ayat 1 dan 2:

Maksudnya:

“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur).”


(Lagu)

Sekian dulu cerita saya, 

Pedoman untuk semua. 

Jadi insan yang beriman.

Taat kepada Tuhan.


Kawan-kawan, begitulah cerita yang saya ingin kongsikan. Semoga kita dapat mengambil pengajaran dari kisah ini.

Sekian, terima kasih.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teks Doa Majlis Perhimpunan Bulanan

Cukuplah Allah bagiku

MANIS yang manis!