Teks Doa Majlis Amanat YB Menteri

Teks doa yang boleh digunakan untuk majlis-majlis rasmi di Kementerian/Jabatan


Segala puji bagi Allah yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas semulia-mulia penghulu kami junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. serta ahli keluarga dan para sahabat baginda.
 

Sempena Majlis Amanat Yang Berhormat Menteri Alam Sekitar dan Air pada hari ini, kami menadah tangan memohon keampunan dan keberkatan daripada-Mu. Kami memohon daripada sifat ihsan-Mu, agar dikurniakan kepada kami nikmat kestabilan, keamanan, kesejahteraan dan keselamatan. Lindungilah kami daripada segala keburukan, musibah yang berat, kesengsaraan dan kemungkaran. 

Kami pohonkan juga ya Allah, limpahkan rahmat, taufik dan hidayah-Mu kepada pemimpin-pemimpin kami, barisan penjawat awam dan seluruh rakyat negara yang tercinta ini. Mantapkanlah semangat dan keazaman kami dengan penuh kesabaran dan tawakkal kepada-Mu dalam memikul tanggungjawab memajukan negara, agama dan bangsa, di bawah riayah dan naungan-Mu. 

Bukakanlah pintu hati kami dengan kebijaksanaan, ilmu pengetahuan dan hikmah daripada-Mu. Perbaikilah setiap urusan kami dan janganlah Engkau biarkan kami mengendalikan urusan kami bersendirian tanpa petunjuk-Mu, walau sekecil manapun urusan itu. 
 

Permudahkanlah kami dalam melaksanakan segala perancangan dasar, strategi, program dan penyampaian perkhidmatan organisasi kami. Kami memohon keberkatan dan keredaan-Mu, agar segala usaha dan inisiatif yang dilaksanakan dapat membawa manfaat yang berterusan khususnya dalam melestarikan alam sekitar dan sumber air serta membina perkhidmatan air yang mapan dan berdaya harap, untuk pembangunan negara, kesejahteraan rakyat seluruhnya serta manfaat untuk generasi kami di masa hadapan.


Ya Allah, jadikanlah perhimpunan kami ini sebagai satu perhimpunan yang dirahmati dan perpisahan kami pula selepas ini sebagai satu perpisahan yang diberkati dan dilindungi. Dan janganlah Engkau jadikan pada diri kami ini, dan mereka yang bersama kami, kebinasaan, dan menyingkirkan kami dari memperolehi rahmat.




 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teks Doa Majlis Perhimpunan Bulanan

Cukuplah Allah bagiku